Friday, 23 March 2012

。◕‿◕。Kepentingan Bersuci ★☆

Views

Assalamualaikum..slmt tghari..
sedikit perkongsian di sini..sekadar pengetahuan...




PENDAHULUAN
Menjaga kebersihan diri dan persekitaran adalah merupakan ajaran dan suruhan setiap agama. Namun begitu, Agama Islam mempunyai prosedur tertentu di dalam membersihkan sesuatu yang kadang kalanya tidak tercapai oleh akal manusia sendiri akan rasionalnya.

PENGERTIAN BERSUCI
Bersuci menurut bahasa ialah suci dan bersih,di dalam bahasa arab perkataan bersuci disebut sebagai “ taharah” . Manakala bersuci menurut syarak pula ialah membersihkan diri daripada hadas dan najis hingga membolehkan seseorang itu mengerjakan ibadah.

             Ahli fiqh bersepakat mengatakan harus bersuci dengan air yang suci (mutlaq) sebagaimana firman Allah:


وَهُوَ الَّذِي أَرْسَلَ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ وَأَنْزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً طَهُورًا

Maksudnya :
"Dialah yang meniupkan angin (sebagai) pembawa khabar gembira dekat sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan); dan Kami turunkan dari langit air yang amat bersih ".

Hukum bersuci adalah wajib di atas tiap-tiap mukallaf lelaki dan perempuan  terutamanya kepada mereka yang mahu mengerjakan ibadah . Bab Taharah juga merupakan perkara yang pertama diajarkan di dalam ilmu fiqh dan menjadi bukti bahawa islam amat mementingkan kebersihan dan kesucian .

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud :
" Agama islam itu diasaskan di atas kebersihan " .

KEPENTINGAN BERSUCI
Taharah amat penting dalam Islam sama ada taharah haqiqi, iaitu suci pakaian, badan dan tempat sembahyang daripada najis ataupun taharah hukmi, iaitu suci anggota wudu' daripada hadas, dan suci seluruh anggota zahir daripada janabah (junub); sebab ia menjadi syarat yang berkekalan bagi sah sembahyang sebanyak lima kali sehari. Oleh kerana sembahyang adalah perlakuan menghadap Allah S.W.T., maka menunaikannya dalam keadaan suci adalah sebagai mengagungkan kebesaran Allah S.W.T. Walaupun hadas dan Janabah bukanlah najis yang dapat dilihat, tetapi ia tetap merupakan najis ma'nawi yang membawa kepada kotor tempat yang terkenanya. Oleh itu, apabila ia ada, maka ia mencacatkan penghormatan dan berlawanan dengan prinsip kebersihan. Untuk menyucikannya, maka perlulah mandi. Jadi, jelaslah taharah dapat menyucikan rohani dan jasmani sekaligus.

Rasulullah telah bersabda :
"Anak kunci kepada solat itu adalah bersuci"
                                                                         [ Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi ]

Dari hadis di atas kita juga dapat memahami bahwa bersuci adalah anak kunci solat. Tidak sah solat seseorang apabila dia tidak bersuci dari hadas kecil ataupun dari hadas besar, bukan saja ibadah solatnya tidak diterima tetapi juga mendapat dosa, dan kalau seseorang itu tidak dapat mensucikan batinnya dari segala sifat-sifat terkeji seperti sombong, riak, ujub, hasad dan lain-lain, kalau dia solat maka dia termasuk kedalam golongan orang yang lalai dalam solatnya, dan orang yang lalai dalam solat ini akan dimasukkan kedalam Neraka Wail.

Selain itu , islam sangat mengambil berat supaya penganutnya sentiasa bersih dalam dua perkara; maddi (lahiriah) dan ma'nawi (rohani). Ini membuktikan bahawa Islam sangat menjaga kebersihan dan membuktikan Islam sebagai contoh tertinggi bagi kecantikan dan penjagaan kesihatan diri dan pembinaan tubuh badan dalam bentuk yang paling sempurna, juga menjaga persekitaran dan masyarakat supaya tidak menjadi lemah dan berpenyakit kerana membasuh anggota yang lahir yang terdedah kepada debu, tanah dan kuman-kuman setiap hari serta membasuh badan dan mandi setiap kali berjunub akan menjadikan tubuh badan bersih daripada kekotoran. Sudah ternyata dari segi kedoktoran bahawa cara yang paling baik untuk mengubati penyakit berjangkit dan penyakit-penyakit lain ialah dengan menjaga kebersihan.

Seterusnya perkara yang ketiga yang dapat kita fahami dalam masalah bersuci ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Bersuci adalah separuh daripada iman"
                                                                                      
          [ Riwayat Tirmidzi dan Muslim ]

Di sini dapat kita pahami bahwa kedudukan bersuci begitu penting dalam islam, dan bersuci juga ada hubungkait dengan soal-soal batin. Manakala persoalan iman dan persoalan solat pula bekait rapat dengan perkara kebatinan, sekaligus mempunyai kaitan secara langsung dengan iman dan solat.

Tetapi perlu kita ketahui bahwa masalah bersuci ini bukan hal yang mudah, kalau sekadar mensucikan lahiriah sahaja seperti badan kita yang terkena kotoran mudah sahaja kita basuh dengan air, tetapi yang sulit adalah membersihkan batin kita dari kotoran-kotoran mazmumah. Bukan hal yang mudah bagi kita membersihkan hati kita dari perkara yang kotor, membersihkan pikiran kita dari berbagai pahaman dan ideologi yang berasal dari barat ataupun dari timur.

Oleh kerana itu , bukan mudah untuk kita mendapatkan kesempurnaan bersuci ini iaitu suci lahir dan suci batin, terutama bersuci batin ini yang amat susah sekali sedangkan bersuci batin ini adalah yang paling penting dari kedua bentuk bersuci tadi.

KESIMPULAN
Bersuci merupakan syarat  kepada segala  jenis ibadah, oleh sebab itu bersuci memperoleh tempat yang utama dalam islam. Pelbagai aturan dan hukum yang ditetapkan oleh syarak supaya   manusia menjadi suci dan bersih baik dari segi zahir mahupun batin.

Kesucian dan kebersihan zahir dan batin merupakan pangkal keindahan dan kesihatan. Oleh kerana itu  kesucian dan kebersihan dengan keindahan dan kesihatan saling berkaitrapat satu sama lain . Pokok dari ajaran islam tentang pengaturan hidup bersih dan sihat bertujuan agar setiap muslim dapat melaksanakan tugas dan kewajipannya sebagai khalifah di muka bumi dengan baik , ini kerana kebersihan dan kesucian zahir dan batin merupakan hal yang utama dan terpuji dalam ajaran Islam, kerana dengan bersuci dapat meningkatkan darjat dan martabat manusia di sisi Allah SWT.




~~Yang baik dijadikan ikutan..yg buruk dijadikan sempadan..ape yg bermanfaat boleh di cedok...ape yg kurg hrp dimaafkan........~~ barokallohh..




。◕‿◕。Thank You All ~ Bila Free Terjah Lagi OK~!! 。◕‿◕。

0 Doa Aku Sentiasa Comell:

Post a Comment